Selasa, Jun 29, 2010

Layar Internet, Waktu Kosong & Kerja

Salam...

Sebelum ini kita sentiasa dikejutkan dengan perkataan tiada kerja. Apa yang dikatakan tiada kerja tu? Biasanya ianya berkaitan dengan kerja kita di dalam pejabat yang tiada lagi untuk diselesaikan samada kerja yang diarahkan oleh bos telah selesai kita lakukan atau memang tidak ada kerja baru yang diarahkan. Pada kebiasaannya pada waktu2 tersebut kita akan duduk goyang kaki sambil melayari internet atau pun borak2 kosong. Kekadang tu nak ajak berborak pun tidak boleh sebab kawan yang kita ajak borak tu ada kerja yang dilakukan. Pernahkah pembaca sekelian ada perasaan bersalah bila satu hari suntuk melayari internet? Perasaan tu tertanya2 samada berkat ke tidak gaji yang aku terima ini? Untuk menjawab persoalan itu saya bawakan jawapan daripada Ustaz Zaharuddin yang menjawab soalan yang telah dikemukakan kepada beliau. Kita ikuti soalan dan jawapan seperti di bawah:
Soalan :
Saya merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat yang agak besar. Saya terlibat didalam bidang "development" produk. Masalah yang saya hadapi ialah jika tiada produk baru yang dikeluarkan maka kerja saya pun akan berkurangan sehingga kadangkala boleh dikatakan sampai tiada kerja langsung. Waktu tiada kerja ini kadang kadang mencecah berminggu-minggu. Saya tidak nafikan, bila ada produk baru yang akan dikeluarkan, maka saya akan mulai sibuk dalam tempoh "development" produk tersebut. Tetapi apabila produk ini sudah masuk ke tahap "Mass Production" atau pengeluaran, maka saya tidak lagi bertanggungjawab. Jadi di waktu tersebut bila sudah tiada kerja, maka saya akan habiskan waktu pejabat dgn Surf internet, berEmel atau sesekali keluar dari tempat kerja untuk ke bank dan sebagainya. Persoalan saya sekarang ialah tentang status gaji dan pekerjaan saya. Saya ingin bertanya pandangan Ustaz tentang masalah saya ini. Adakah berkat pekerjaan saya sekarang ini. Saya bukan sengaja menghabiskan waktu kerja saya dgn bersenang lenang melihat Internet dan sebagainya. Tetapi saya memang tiada langsung kerja pada waktu itu. Untuk pengetahuan, saya lihat rata rata rakan sekerja saya juga berkeadaan sama seperti saya. Bila tiada kerja maka masa pejabat akan dihabiskan dengan surfing, emel, berbual dan sebagainya. Apa pandangan ustaz tentang masalah ini. Dan saya juga ingin meminta pendapat ustaz tentang apa yang boleh saya lakukan di waktu saya tiada kerja. Diharap ustaz faham masalah yang saya utarakan ini dan saya amat berharap agar ustaz dapat memberikan jawapan kepada saya agar dapat menjadi panduan buat saya dan semoga kerja saya diberkati olah Allah.
Jawapan :
Alhamdulillah, apabila muncul perasaan risau dan mengambil berat akan pendapatan kita, itu adalah satu tanda yang baik terhadap iman di dalam diri. Nabi telah memberi jaminan kebaikan buat mereka yang menjauhi syubhat dengan katanya juga:-
فمن اتقى الشبهات استبرأ لدينه وعرضه ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام
Ertinya : "Barangsiapa yang menjauhi syubhat, telah selamatlah agamanya dan kehormatannya, barangsiapa yang menyertai syubhat, ia seolah telah jatuh dalam yang haram"
( Riwayat Muslim, no 1599, 3/1219)
Berdasarkan pertimbangan hukum, kedudukan gaji seseorang pekerja menjadi tanggungan ke atas majikan melalui kontrak kerja (‘Aqd al-‘Amal). Kita dapat melihat contoh aqad ini dari kisah Nabi Musa dan Nabi Syuaib a.s.
قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَى أَن تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًا فَمِنْ عِندِكَ وَمَا أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ
Ertinya : Berkatalah dia (Syuaib): ""Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini, atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) dari kamu, maka aku tidak hendak memberati kamu. Dan kamu insya Allah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik ( Al-Qasas : 27)
Dari ayat di atas, jelas Nabi Syuaib menawarkan kontrak kerja selama lapan tahun kepada Nabi Musa. Dalam konteks kerjaya di zaman ini, perincian kontrak khususnya berkaitan tugasan dan tanggungjawab akan diberikan. Justeru, kerjaya seseorang melayakkannya kepada gaji tentunya berbeza mengikut jenis dan karakter kerjaya terbabit. Jenis dan karakter tugasan itulah yang perlu dirujuk untuk melihat sama ada gaji yang diterima boleh berubah menjadi syubhat dan haram.
Secara ringkas dan sekadar memberikan contoh, ia seperti berikut :
-1- Kerja yang dibayar berdasarkan jam kerja.
Contohnya kerja part time di kilang pembuatan, guru separuh masa dan sebagainya.
Ulasan : Bentuk kerjaya sebegini tidak dinafikan memerlukan pekerja untuk kekal bekerja sepanjang jam yang akan diberi gaji. Jika tugas telah disiapkan sebelum jamnya tamat, pekerja sewajarnya terus menyempurnakan kerja yang telah siap itu atau terus bekerja iaitu dengan melakukan apa sahaja yang boleh meningkatkan prestasi kerja yang telah dan akan dilakukan kemudian hari. Ini bermakna, culas dalam menggunakan setiap minit dan jam yang diberikan gaji boleh membawa kepada gaji syubhah.
-2- Kerja dibayar berdasar tugasan specifik. Sesuatu tugasan itu pula berkemungkinan boleh disiapkan lebih awal atau melebihi waktu biasa kerja.
Ulasan : Antara kerja sebegini konsultan, penterjemah dan sebahagian Pensyarah di Universiti. Yang mana mereka dikehendaki menyiapkan tugasan specifik dalam satu tempoh yang diberi. Pensyarah contohnya dikehendaki mengajar dalam jam tertentu manakala baki waktu adalah untuk melakukan kajian dan mendalami ilmu berkaitan dengan bidangnya, bagi menambah kepakaran dirinya. Bagi konsultan, menyiapkan tugasan specifik ini mungkin tidak dihadkan oleh sesuatu jam tertentu. Tidak kira berapa lama jam diperlukan untuk menyiapkannya, pembayarannya telah ditetapkan lebih awal. Tatkala itu, sekiranya konsultan dan pensyarah ini melayari internet sekali sekala bagi mebuat kajian, menenangkan fikiran dan apa jua yang tidak bercanggah sama sekali dengan sifat kerjanya. Menurut pendapat saya, gajinya tetap kekal sebagai halal dan harus. Bagi penterjemah dan sepertinya. Apabila habis terjemahan yang dibuat, tiadalah gaji diberikan untuk waktu-waktu lain. Gaji berdasarkan projek dan tugasan tertentu sahaja. Melayari internet dan berehat dan seumpamanya bagi petugas dalam bidang ini juga tiada masalah, kerana gajinya dibayar bukan berdasar masa tetapi tugasan yang diberikan. Jika kerja dapat disiapkan segera, tentunya dia bakal perolehi pendapatan yang juga segera. Jika dia banyak menghabiskan masanya untuk layari interent, lambat pulalah gaji dapat dinikmati.
-3- Kerja yang diikat dengan tempoh waktu khas setiap hari, sama ada terdapat kerja atau tidak, pekerja mesti sentiasa ada di pejabat sepanjang tempoh terbabit.
Ulasan : Contoh tugasan sebegini adalah pekerja rasmi di pejabat kerajaan, swasta sama ada bersifat pentadbiran utama, sokongan atau pengurusan utama.Semua jenis kerjaya ini biasanya mempunyai waktu bekerja setiap hari iaitu 9 pagi hingga 5.30 petang. Namun tugasan yang perlu dilakukan, sebahagiannya boleh melebihi jam 5.30 petang untuk disiapkan, khususnya bagi jawatan pengurusan tertinggi, tetapi gaji mereka tidak bertambah kepada lebih masa tadi, ia hanya berubah berdasarkan penilaian lain. Bagi tugasan sebegini, adakalanya kerja tiada dalam waktu kerja harian mereka, membawa mereka kepada menghabiskan masa, sekadar duduk, melayari internet dan sebagainya. Bagi saya gaji mereka tetap halal disebabkan komitmen mereka yang tetap terus berada di kerusi mereka menanti kerja-kerja yang akan tiba pada bila-bila masa. Hasilnya, rehat mereka, internet mereka adalah HARUS selagi mana ia tidak memberikan sebarang kesan kepada prestasi kerja mereka, tidak menyebabkan kos luar biasa kepada syarikat dan TIDAK DITEGAH oleh syarikat dalam pekeliling umum kepada seluruh kakitangan. Namun begitu, yang terbaik, waktu kosong tadi dimanfaatkan untuk apa jua aktiviti yang boleh meningkatkan tahap efisyen diri. Namun tidak dinafikan, rehat adakalanya memang diperlukan bagi menghasilkan kerja yang lebih baik. Tanpa rehat mencukupi, sesuatu tugasan khususnya yang memerlukan kerahan idea dan minda sukar disiapkan.
KESIMPULAN
Justeru, melihat kepada soalan tadi, tidak boleh dinafikan sama sekali, sebahagian tugasan boleh disiapkan lebih awal dan sementara menunggu tugasan baru, tiada kerja specifik yang diperolehi, ketika itu pada hemat saya kes saudara tergolong dalam kategori ketiga ini. Tanggungjawab saudara di ketika tiada kerja adalah perlu sentiasa ada di tempat kerja, bagi memastikan kiranya terdapat kerja, ia boleh segera disampaikan. Dengan itu, anda sudah dikira melaksanakan tugasan. Namun sebaiknya, sebagaimana disebutkan di atas, masa tersebut dimanfaatkan untuk meningkatkan kepakaran diri agar boleh dimanfaatkan oleh majikan dan umat seluruhnya. Termasuklah di dalam hal tersebut, menggunakan waktu kosong untuk meningkatkan ilmu Islam dan ketaqwaan kepada Allah. Tiada sebarang unsur haram berlaku walau banyak masa dihabiskan dengan rehat dan melayari internet asalkan sahaja ia semuanya tidak menganggu tugasan utama dan sampingan yang dipertanggungjawabkan. Manusia bukanlah robot yang mampu untuk setiap inci dan saat bekerja. Justeru, rehat mereka dalam tempoh yang berpada pada hemat saya masih tergolong dalam takrif ‘KERJA’ kerana kerja yang baik dan berkualiti adakalanya memerlukan tubuh dan minda yang fresh atau segar. Dalam konteks itu, rehat amat diperlukan tetapi jangan terlebih rehat sehingga termasuk di dalam bab ‘curi tulang’ dan tidak efisyen di dalam pelaksanaan tugasan.
Wallahu’alam Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
29 Jun 2010Brunei Darus Salam
Semoga kita semua mendapat manafaat daripada artikel ini.
Sekian dulu buat kali ini. Jumpa lagi di lain entri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan