Ahad, Februari 28, 2010

Salam Maulidur Rasul


Salam...

Tanggal 26hb Februari 2010 bersamaan 12 RabiulAwal 1431H merupakan ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Seperti pada tahun-tahun lepas, kelahiran Rasulullah akan disambut dengan pelbagai acara. Antaranya adalah perarakan, ceramah dan nyanyian lagu-lagu nasyid sebagai memperingati kelahiran baginda. Perarakan sambil berselawat merupakan acara wajib boleh dikatakan pada setiap tahun. Teringat saya masa kecil-kecil dulu. Semasa tu saya tinggal di kuarters JKR Kelang. Ayah saya merupakan pesara JKR. Surau yang terdekat dengan kuarters kami ialah Surau Jalan Tepi Sungai. Jaraknya lebih kurang 2 km. Dekat...boleh jalan kaki je. Apabila tiba Maulidur Rasul atau Maulud Nabi...dolu-dolu kami panggil, pihak surau akan mengadakan kenduri Maulud Nabi. Antara juadah yang disediakan ialah pulut kuning dengan kari daging...kalu saya tidak silap...pelupa betul saya ni. Lain-lain juadah...ememem...tak ingatlah. Agaknya ini lah kesannya bila jatuh dari atas basikal. Kepala saya terhentak ke bumi...aduh. Apa-apa pun zaman kanak-kanak sambut Maulud Nabi memang seronok...boleh makan sedap. Dalam 1 tahun tu cuma 3 kali dapat makan daging...Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan Maulud Nabi. Rumah orang kawin pun dapat juga tapi rasanya tidak semewah macam sekarang. Tapi emak saya memang jarang masak daging. Biasanya emak akan masak ayam kampung yang emak bela sendiri.

Nak citer lebih-lebih berkenaan Maulud Nabi ni bukannya ingat. Kalu ada gambar masa tu kan best...boleh tunjuk kat anak-anak. Kebanyakan gambar lama-lama dah hilang masa pindah dari Kelang ke Melaka. Walaubagaimanapun, Rasulullah s.a.w hendaklah diingati sepanjang masa. Sunnah dan ajaran Rasulullah itu lah yang patut atau wajib kita ikuti. Teringat saya kata-kata juruhebah IKIM pada pagi tadi semasa dalam perjalanan ke rumah emak saya. Setiap minggu saya bawa emak saya berbelanja di pasar. Juruhebah Aizah namanya mengingatkan pendengar supaya sentiasa mengamalkan ajaran Rasulullah antaranya membaca doa sebelum dan selepas makan, membaca doa sebelum masuk tandas dan apabila keluar dari tandas, makan dengan tangan kanan kerana katanya jika makan dengan tangan kiri itu menunjukkan kita seorang yang bongkak dan masuk tandas dengan kaki kiri dan berselipar. Sebenarnya banyak lagi ajaran Rasulullah yang memberi kesejahteraan dan keselamatan kepada umatnya di dunia hingga ke akhirat. Kata-kata juruhebah tersebut memang amat berkesan pada sesiapa yang mendengarnya. Saya jugak teringat dengan kata-kata Pengarah INFRA yang baru iaitu Encik Mohd Shafie bin Jusoh. Beliau mengingatkan kepada kami semua untuk sentiasa mengamalkan 4 sifat Rasulullah iaitu Jujur, Amanah, Bijaksana dan Menyampaikan.

Saya insan yang kerdil ini memang tidak berkemampuan untuk melaksanakan sunnah baginda. Walaupun begitu, kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa menanam azam untuk menjunjung sunnah Rasulullah dan menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakannya. Mungkin kita boleh melakukannya sedikit demi sedikit atau secara beransur-ansur. Atau kita boleh mulakan dengan keluarga kita dulu. Mudah-mudahan iltizam kita itu akan dipermudahkan Allah swt. Marilah kita sentiasa bersalawat kepada baginda kerana 1 kali kita bersalawat Allah akan balas 10 kali syafaat baginda. Para ustaz, betulkan saya jika tersalah. Syafaat baginda yang amat kita perlukan bila berada di akhirat nanti.

Sekian dulu catatan saya buat kali ini. Yang baik itu datangnya dari Allah sementara yang buruk itu datangnya dari kesilapan saya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan