Berfikir sebelum klik! Langkah berhati-hati itu boleh menyelamatkan diri anda daripada menjadi mangsa penipuan di dalam Internet, malah menunjukkan anda seorang yang cerdik dan pintar menggunakan aplikasi teknologi maklumat (IT). Alam siber yang mengamalkan dasar langit terbuka dan tanpa garis sempadan tentunya menghidangkan pelbagai maklumat, sama ada berunsur positif yang memberikan manafaat atau negatif yang mendatangkan mudarat.
Ketika dunia didedahkan dengan jaringan Internet, negara kita agak ke depan meneroka bidang ini, malah masyarakat kita juga lebih celik dalam penggunaannya jika dibandingkan dengan sesetengah rakyat di negara lain. Perangkaan terkini menunjukkan seramai 16.5 juta pengguna Internet di negara ini iaitu satu jumlah yang cukup besar jika dibandingkan dengan jumlah penduduk seramai 26 juta orang. Ini bermakna rata-rata di kalangan kita menggunakan kemudahan siber itu sama ada untuk mengisi maklumat dan mengemas kini data, membayar bil utiliti, pinjaman institusi kewangan, permohonan perjawatan atau sekadar mengakses e-mel dan melayari ruangan sembang. Namun, di sebalik kemudahan itu, ramai yang alpa dengan aspek keselamatan, bahkan ada sesetengahnya langsung tidak ambil tahu mengenainya kerana beranggapan ia isu teknologi dan teknikal yang selayaknya diletakkan pada bahu pakar IT saja. Apakah persepsi itu tepat atau sebaliknya, terutama ketika kesempurnaan dunia bergantung kepada IT sepenuhnya, malah kitaran hidup kita sendiri dikelilingi dengan kehadiran pelbagai media seperti blog, Facebook dan Twitter. Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Husin Jazri, berkata sekiranya melihat secara ringkas dan tidak cuba memahami aspek keselamatan siber itu dengan baik, sememangnya ia sekadar tertumpu kepada pemain dan pakar dalam teknologi terbabit saja. Tetapi menurutnya, pada waktu sekarang, isu keselamatan tidak hanya tertumpu pada aspek teknologi, malah meliputi isu sosial yang perlu ditangani bersama. Katanya, ini menunjukkan semua orang harus prihatin dan memainkan peranan untuk mewujudkan satu suasana siber yang selamat, bukannya diletakkan tanggungjawab itu kepada sesetengah pihak seperti mereka yang pakar dalam bidang terbabit.
“Keselamatan siber pada asasnya tertumpu pada segala perkara yang membabitkan cara menentukan aset (maklumat) termasuk kerahsiaan, integriti, memastikan perkhidmatan sentiasa berterusan dan tidak diganggu. Keselamatan siber membabitkan keselamatan segala isu penggunaan Internet secara selamat dalam alam siber, termasuk penggunaan komputer riba dan telefon bimbit. Isu ini sangat penting kerana dapat membantu pengguna daripada menjadi mangsa penjenayah siber, iaitu mengelak diri kita menjadi mangsa,” katanya sambil mengingatkan pengguna, ‘penjenayah siber ada pelbagai kategori yang sanggup menggadai ilmu demi wang, termasuk along mencari mangsa melalui Internet.’
Menurut beliau, secara umum penggunaan Internet adalah selamat dan tidak sepatutnya mendatangkan bahaya, namun pada waktu sama, risiko kita berada di dalam Internet bertambah disebabkan pengetahuan yang kurang dan ketamakan untuk cepat kaya. “Jika seseorang itu dapat mendisiplinkan diri dan menggunakan daya logik seperti sikap yang berhati-hati di alam nyata, kemungkinan besar apabila dia memasuki alam siber, dia tidak ditipu dan tidak juga terdorong untuk menipu orang lain. “Tetapi yang kita bimbang ialah golongan kanak-kanak kerana mereka tidak tahu membuat penilaian antara yang baik dan buruk. Di sinilah tunjuk ajar dan pengawasan ibu bapa, guru dan rakan sangat penting supaya mereka tidak terdedah kepada penipuan dan laman tidak sepatutnya di dalam Internet,” katanya sempena Hari Keselamatan Komputer Sedunia (WCSD) 2009 yang disambut hari ini.
WCSD adalah acara tahunan seluruh dunia yang mula diperkenalkan pada 1988 oleh Pertubuhan Hari Keselamatan Komputer bagi meningkatkan kesedaran terhadap isu keselamatan penggunaan komputer dan Internet. Kali ini, CyberSecurity Malaysia mengetuai sambutan hari berkenaan dengan tema Keselamatan Komputer Adalah Tanggungjawab Setiap Individu. Sambutan ini membabitkan pelbagai acara yang dirangka bagi mempertingkatkan kesedaran orang ramai supaya masing-masing prihatin terhadap aspek keselamatan di alam siber, khususnya membabitkan aset sumber dan maklumat. CyberSecurity adalah satu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, yang berperanan melakukan analisis forensik digital, penilaian sistem maklumat dan aspek keselamatan dan penilaian produk keselamatan teknologi maklumat. Selain itu, ia terbabit dalam pengurusan keselamatan maklumat menurut amalan terbaik yang diperlukan negara, perkhidmatan pembangunan pendidikan keselamatan maklumat dan kempen kesedaran kepada rakyat. Agensi terbabit turut memberikan khidmat bantuan keselamatan melalui Pusat Bantuan Cyber999 yang boleh dihubungi melalui talian 1-300-2999, e-mel: cyber999@cybersecurity.my atau web www.cybersecurity.my dan http://www.mycert.org.my/. Pada 1 Disember ini, satu pusat keselamatan baru dirintis CyberSecurity iaitu Malware Research. Melaluinya turut dilancarkan INFOSECURITY.my seminar dan FIRST-TC seminar bagi memberikan maklumat kepada pengguna mengenai aspek keselamatan siber.
Husin berkata, orang ramai harus mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mengenai penggunaan komputer dan Internet kerana dengan cara itu saja dapat membentengi diri daripada menjadi mangsa. “Pada zaman moden ini, untuk maju ke depan kita mesti maju dalam Internet kerana ia pintu kepada segala pengetahuan dan melaluinya jugalah, kita berpeluang menghayati keindahan dunia. Kalau tidak kerana Internet, kita gagal mengikuti arus perkembangan dunia. Malah, gagal menguruskan kehidupan kita dengan lebih bersistem. Tetapi di dalam Internet ada baik dan buruk. Inilah yang kita kena ingat dan kita kena didik nilai kita supaya tidak terdorong kepada yang buruk. Kerana itu saya tekankan, kita kena ada kesedaran dan peningkatan dalam sudut pengetahuan. Tanggungjawab keselamatan ini tanggungjawab bersama,” katanya. Menurutnya, bagi mereka yang ingin mendapatkan pengetahuan mengenai keselamatan siber secara percuma, boleh melayari http://www.cybersafe.my/. Beliau mengingatkan semua pihak supaya berwaspada dalam penggunaan komputer kerana mutakhir ini, banyak berlaku kes kecurian identiti dalam talian dan buli siber. “Kita dapati banyak kes yang berlaku, cuma mereka tidak melaporkannya dan yang dilaporkan kepada kami hanya sebahagian kecil. “Sempena Hari Keselamatan Komputer ini, kita harap dapat meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna dan meminimumkan kes penipuan siber,” katanya.
Nota : Untuk makluman, WCSD telah diadakan pada 30 November 2009
Sumber daripada www.pesima.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan